ZLBT Chats

Monday, August 10, 2009

Perniagaan Bursa Malaysia >>> Saham, FKLI Dan FCPO

HARGA SAHAM NAIK, TUMPUAN KEPADA KAUNTER
Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan minat belian tertumpu kepada kaunter bermodal sederhana dan berharga rendah, kata para peniaga.
Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menokok 3.12 mata atau 0.263 peratus untuk ditutup pada 1,188. Ia ditutup 5.85 mata lebih tinggi pada 1,190.73 pagi ini. KLCI FBM bergerak antara 1,182.45 dan 1,191 hari ini di celah-celah kelembapan dagangan dalam saham mewah kerana kekurangan petunjuk baru yang kukuh kecuali data pekerjaan yang positif dari AS.

Ketua penyelidikan runcit Maybank Investment Bank Bhd, Lee Cheng Hooi berkata minat pelabur dilihat pada kaunter perindustrian, hartanah dan berkaitan kewangan.

"Pasaran kekal kukuh dengan jangkaan pengumuman angka pengangguran yang lebih baik di AS pada Jumaat telah mengekalkan mood belian para peserta," kata beliau. Data yang diumumkan Jumaat lepas menunjukkan majikan AS mengurangkan 247,000 pekerjaan pada bulan Julai berbanding 443,000 sebulan terdahulu sambil menambah pengurangan itu tidak begitu teruk berbanding pengurangan 275,000 yang diunjurkan oleh pakar ekonomi.
Lee menjangkakan yang pasaran kekal pada paras semasa dan ia mungkin meningkat antara dua dan tiga mata keesokkan harinya.
Indeks Kewangan menokok 27.76 mata untuk ditutup pada 9,716.79, Indeks Perladangan meningkat 14.87 mata kepada 5,766.35, Indeks Perindustrian susut 2.09 mata kepada 2,608.76 dan Indeks FBMEmas menambah 30.82 mata kepada 8,051.81. Indeks FBM Top 100 mengukuh 21.94 mata kepada 7,811.69 dan Indeks FBM ACE pula 66.65 mata lebih rendah pada 4,177.9.
Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 415 berbalas 266 sementara 218 kaunter tidak berubah dan 364 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 862.677 juta saham bernilai RM1.285 bilion daripada 1.010 bilion saham bernilai RM1.659 bilion Jumaat lepas.
Mendahului saham aktif, KNM Group turun satu sen kepada 82.5 sen, Land & General naik tiga sen kepada 32 sen, Hexza Corp menambah 6.5 sen kepada 68 sen dan Jotech Holdings kekal pada 9.5 sen.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Sime Darby mengukuh dua sen kepada RM8.28, Maybank merosot dua sen kepada RM6.82, Bumiputra-Commerce meningkat dua sen kepada RM10.68 dan Tenaga lebih tinggi lima sen kepada RM8.20.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 763.366 juta saham bernilai RM1.263 bilion daripada 827.170 juta saham bernilai RM1.620 bilion Jumaat lepas. Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 43.964 juta unit bernilai RM7.742 juta daripada 118.542 juta unit bernilai RM24.356 juta sebelumnya.

Waran-waran lebih rendah kepada 50.719 juta saham bernilai RM11.674 juta daripada 61.127 juta saham bernilai RM12.985 juta pada Jumaat.
Produk pengguna menguasai 39.937 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian 243.732 juta, pembinaan 50.449 juta, urus niaga/perkhidmatan 215.251 juta, teknologi 11.107 juta, infrastruktur 8.281 juta, kewangan 47.464 juta, perhotelan 1.923 juta, hartanah 123.825 juta, perladangan 19.488 juta, perlombongan 9,000, REITs 1.842 juta dan dana tertutup 54,200.

NIAGA HADAPAN FBM KLCI DITUTUP KUKUH
Kontrak niaga hadapan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kukuh hari ini sejajar dengan prestasi pasaran tunai, kata para peniaga.
Kontrak terdekat Ogos 2009 naik 1.0 mata untuk ditutup kepada 1,180.5, kontrak September 2009 meningkat 2.0 mata kepada 1,179.5, Disember 2009 dan Mac 2010 menokok 1.5 mata setiap satu masing-masing kepada 1,172 dan 1,165. Jumlah dagangan turun kepada 3,979 lot daripada 5,016 pada Jumaat minggu lepas.
Bagaimanapun, kepentingan terbuka menambah kepada 22,154 kontrak daripada 21,359 sebelumnya.
FBM KLCI pendasar naik 3.12 mata atau 0.263 peratus untuk ditutup kepada 1,188.

Harga niaga hadapan minyak sawit mentah
Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup kukuh hari ini, meskipun dengan pengumuman angka eksport yang rendah daripada dijangkakan untuk 10 hari pertama bulan Ogos, kata para peniaga.

Mereka berkata para pelabur beralih kepada stok minyak sawit mentah yang rendah pada bulan Julai yang merosot kira-kira lima peratus seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
"Pasaran masih lagi dalam trend menaik memandangkan kita kini menghala kepada musim permintaan, bermula dengan Ramadan yang pada kebiasaannya pengeluarannya juga rendah," kata seorang peniaga tempatan. Pada penutup, niaga hadapan MSM untuk Ogos 2009 meningkat RM62 kepada RM2,440, September 2009 naik RM66 kepada RM2,420 sementara Oktober 2009 dan November 2009, masing-masing menambah RM60 kepada RM2,400 dan RM2,395.
Jumlah dagangan menokok kepada 16,270 lot daripada 11,528 lot Jumaat lepas sementara minat terbuka merosot kepada 78,176 kontrak daripada 78,807 kontrak sebelumnya.
Di pasaran fizikal, Selatan Ogos ialah pada RM2,470 setonne, naik daripada Jumaat lepas RM2,390 setonne.

No comments:

Post a Comment